Tampilkan postingan dengan label sultan. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label sultan. Tampilkan semua postingan

Kamis, 30 Januari 2014

Penasihat Sultan Sulu Atur Strategi Untuk Dapatkan Sabah



MANILA - Seorang pastor yang dikenali sebagai Saycon tampil mengakui beliau adalah penasihat kepada Sultan Sulu Jamalul Kiram III dalam membuat tuntutan ke atas Sabah.

Saycon berkata beliau bekerja untuk sultan atas kapasiti peribadi dan bukan sebagai Setiausaha Agung Majlis bagi Hal Ehwal Filipina (Copa).

Dalam temu bual dengan media tempatan Saycon berkata, beliau terpanggil untuk menerangkan keadaan sebenar selepas pengikut Sultan Sulu dan pasukan keselamatan Malaysia menemui jalan buntu untuk menyelesaikan masalah itu di Lahad Datu, Sabah hingga mencetuskan keganasan.

Saycon mendakwa sebagai pakar strategi politik dan berperanan ketika penggulingan bekas Presiden Joseph Estrada pada 2001 dan berpengaruh dalam pentadbiran bekas Presiden Gloria Macapagal Arroyo.

“Sebagai seorang penasihat kepada sultan, saya membantu beliau mengumpul bukti dan dokumen yang akan membantu dalam tuntutan Sabah kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Saya juga membantu beliau menyusun strategi supaya beliau dapat fokus kepada usaha untuk mendapatkan semula Sabah,” katanya dipetik Globalnation Inquirer.

Ditanya sama ada beliau juga menasihatkan Jamalul untuk menghantar Azzimuddin dan bilangan pengikut ke Sabah untuk menuntut sebahagian wilayah Malaysia, beliau mejawab: “Tidak."
Namun beliau mengakui bahawa mengetahui tentang rancangan menuntut Lahad Datu sejak Ogos lalu.

Saycon berkata, terdapat empat percubaan untuk memasuki Lahad Datu iaitu pada Ogos dan September lalu.

“Ketika itu, saya juga mendapat tahu tindakan nekad memasuki Lahad Datu disebabkan terdapat pengikut mereka di Tausung Sabah tertindas ini menyebabkan Sultan Sulu berasa malu kerana tidak mampu berbuat apa-apa. Beliau juga menerima laporan bahawa terdapat pengikutnya dipukul anggota keselamatan Malaysia sebelum dihantar pulang ke Sulu dan Tawi-Tawi,” katanya.

Menurutnya, selepas kerajaan menandatangani perjanjian damai awal dengan Barisan Pembebasan Islam Moro pada Oktober 2012, terdapat ketegangan dalam pentadbiran kesultanan, tetapi tiada rancangan untuk menduduki Sabah.

Namun, Jamalul khuatir dan kecewa kerana permintaan mereka kepada kerajaan termasuk tuntutan Sabah dalam rundingan damai dengan Bangsamoro itu tidak dinyatakan.

“Percubaan ketiga adalah pada November selepas Jamalul mengeluarkan dekri diraja membenarkan Azzimuddin pergi ke Sabah, perintah itu dikeluarkan semasa mesyuarat puak di Bandar Zamboanga.

Beliau berkata, sebelum Disember lalu beliau mendapat tahu Azzimuddin telah mengumpulkan senjata untuk penyokong dan pengikut menyeberang ke Sabah.

“Segala tindakan beliau dari awal tidak saya setuju, malah saya meyakinkan beliau supaya mengumpul dokumen dan sokongan untuk dihantar kepada jawatankuasa Kehakiman PBB kerana itu usaha terakhir bagi mereka,” katanya.

Saycon berkata, Kiram menjelaskan kepadanya bahawa Kesultanan Sulu tidak mempunyai pilihan tetapi akan melakukan apa sahaja yang didesak oleh pengikutnya.

“Mereka akan kehilangan maruah jika gagal untuk melakukannya, sebagai pengikut mereka hanya mahu merebut kembali Sabah dan perkara itu memberi tekanan kepada sultan,“ katanya
Read More..

Sabtu, 28 Desember 2013

Sultan Dukacita Kekejaman Ekstremis Agama


PELABUHAN KLANG – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini bertitah baginda amat dukacita dengan kemunculan ekstremis agama yang sanggup membunuh dan melakukan kezaliman terhadap penganut seagama dan agama lain.

Ektremis-ekstremis ini timbul kerana adanya ajaran-ajaran sesat seperti Syiah, Al-Arqam, Kadiani, Tuhan Harun dan banyak lagi ajaran yang menyeleweng daripada fahaman Islam yang diamalkan di negara ini, titah baginda ketika merasmikan Masjid Kampung Raja Uda di sini.

“Beta berharap rakyat negeri Selangor sekalian janganlah terpengaruh dengan janji-janji manis pihak yang mahu menyesatkan umat Islam di negeri ini ke arah yang tidak diredai Allah SWT,” titah baginda.

Sehubungan itu baginda mahu Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) supaya memperjelaskan kepada rakyat Islam di Selangor tentang penyelewengan ajaran Syiah yang boleh merosakkan umat Islam dan perpaduan Melayu.

Baginda turut menitahkan Jais supaya membuat pengawalan terperinci, terutamanya ceramah atau pengajaran agama Islam di negeri itu, terutama oleh orang luar.

Titah Sultan Selangor mereka yang ingin berdakwah dan  mengajar agama di negeri itu perlu mendapatkan tauliah daripada Majlis Agama Islam Selangor.

“Seperkara lagi yang sangat mendukacitakan beta adalah terdapat segelintir  golongan bijak pandai dan cendekiawan Melayu yang tidak segan silu mencaci dan menghina serta menjatuhkan martabat bangsa Melayu dan agama Islam.

“Mereka ini dianggap seperti pepatah Melayu ‘membuka pekung di dada’ dan  menunjukkan betapa mundurnya orang Melayu di zaman globalisasi ini,” titah baginda.

Titah baginda golongan itu seharusnya memberi pendapat atau nasihat yang boleh membawa  masyarakat Melayu ke arah perpaduan dan kemajuan, mematuhi undang-undang dan berbudi bahasa serta memelihara adat resam yang diamalkan sejak turun-temurun.

“Mereka yang bijak pandai ini juga sepatutnya memberi keyakinan kepada bangsa Melayu supaya jangan gentar dan sanggup berjuang untuk menaikkan imej dan martabat bangsa Melayu agar turut bersama-sama maju dalam abad ke-21 ini,” titah baginda.

Pada majlis itu baginda turut menyertai majlis bacaan yasin, tahlil dan doa selamat sempena sambutan Hari Keputeraan baginda yang ke-68 serta menunaikan solat Jumaat.

Masjid Kampung Raja Uda yang dibina bermula April 2007 siap pada November 2012. Masjid bernilai RM7.6 juta itu boleh memuatkan 3,500 jemaah dalam satu-satu masa. – BERNAMA
Read More..