Sabtu, 28 Desember 2013

Browse » home» » » » » » Sultan Dukacita Kekejaman Ekstremis Agama

Sultan Dukacita Kekejaman Ekstremis Agama



PELABUHAN KLANG – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini bertitah baginda amat dukacita dengan kemunculan ekstremis agama yang sanggup membunuh dan melakukan kezaliman terhadap penganut seagama dan agama lain.

Ektremis-ekstremis ini timbul kerana adanya ajaran-ajaran sesat seperti Syiah, Al-Arqam, Kadiani, Tuhan Harun dan banyak lagi ajaran yang menyeleweng daripada fahaman Islam yang diamalkan di negara ini, titah baginda ketika merasmikan Masjid Kampung Raja Uda di sini.

“Beta berharap rakyat negeri Selangor sekalian janganlah terpengaruh dengan janji-janji manis pihak yang mahu menyesatkan umat Islam di negeri ini ke arah yang tidak diredai Allah SWT,” titah baginda.

Sehubungan itu baginda mahu Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) supaya memperjelaskan kepada rakyat Islam di Selangor tentang penyelewengan ajaran Syiah yang boleh merosakkan umat Islam dan perpaduan Melayu.

Baginda turut menitahkan Jais supaya membuat pengawalan terperinci, terutamanya ceramah atau pengajaran agama Islam di negeri itu, terutama oleh orang luar.

Titah Sultan Selangor mereka yang ingin berdakwah dan  mengajar agama di negeri itu perlu mendapatkan tauliah daripada Majlis Agama Islam Selangor.

“Seperkara lagi yang sangat mendukacitakan beta adalah terdapat segelintir  golongan bijak pandai dan cendekiawan Melayu yang tidak segan silu mencaci dan menghina serta menjatuhkan martabat bangsa Melayu dan agama Islam.

“Mereka ini dianggap seperti pepatah Melayu ‘membuka pekung di dada’ dan  menunjukkan betapa mundurnya orang Melayu di zaman globalisasi ini,” titah baginda.

Titah baginda golongan itu seharusnya memberi pendapat atau nasihat yang boleh membawa  masyarakat Melayu ke arah perpaduan dan kemajuan, mematuhi undang-undang dan berbudi bahasa serta memelihara adat resam yang diamalkan sejak turun-temurun.

“Mereka yang bijak pandai ini juga sepatutnya memberi keyakinan kepada bangsa Melayu supaya jangan gentar dan sanggup berjuang untuk menaikkan imej dan martabat bangsa Melayu agar turut bersama-sama maju dalam abad ke-21 ini,” titah baginda.

Pada majlis itu baginda turut menyertai majlis bacaan yasin, tahlil dan doa selamat sempena sambutan Hari Keputeraan baginda yang ke-68 serta menunaikan solat Jumaat.

Masjid Kampung Raja Uda yang dibina bermula April 2007 siap pada November 2012. Masjid bernilai RM7.6 juta itu boleh memuatkan 3,500 jemaah dalam satu-satu masa. – BERNAMA

Tidak ada komentar:

Posting Komentar